Monday, October 5, 2009

~Sejarah SMK Dato Ahmad Maher~


Mula ditubuhkan pada 1.5.1985 oleh Tan Sri Dato' Dr Wan Muhd Zahid bin Mohd Nordin iaitu Pengarah Pendidikan Kelantan ketika itu dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Jalan Bayam sehingga 1991.

Pada Tahun 1992, sekolah ini telah bertukar nama kepada Sekolah Menengah Dato' Ahmad Maher. Nama Dato' Ahmad Maher dipilih kerana ketokohan beliau sebagai seorang ulama serta pendidik dan juga jasa-jasa beliau semasa menjadi Mufti Besar Kelantan.

Sekolah ini mula menjadi Sekolah Kawalan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pada tahun 1992. Sejak itu pengambilan pelajar ke sekolah ini telah terpilih.

Asrama SMK Dato' Ahmad Maher mula beroperasi pada 06.08.1989 dengan jumlah penghuni ketika itu 566 orang.

SMK Dato' Ahmad Maher terus maju dan berkembang sehingga memenangi anugerah penting sama ada di peringkat kebangsaan atau pada peringkat negeri. Antara kemenangan yang disandang oleh sekolah ini

  • Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar peringkat negeri Kelantan pada tahun 1994.
  • Johan Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan Peringkat Kebangsaan tahun 1995.
  • Johan Pertandingan 'Cabaran BP' peringkat Zon Timur tahun 1996.
  • Johan Pertandingan Reka Cipta (projek ED-1) peringkat Negeri Kelantan dan ke-4 peringkat kebangsaan tahun 1999.
  • Johan Kuiz Sains Nasional Peringkat Kebangsaan tahun 2000.
  • Johan pertandingan Kuiz Pelaburan Nasional Berhad Peringkat Kebangsaan tahun 2001.
  • Anugerah Juara JPN Kelantan dalam kategori Makmal ERT (1999), Makmal Sains (2000), Kantin 5 Bintang (2000), Pengurusan PPPJ (2000), Kokurikulum Akedemik (2000), Bilik SAL (2001), Asrama Harian (2001), PMR Sekolah Kawalan (1999-2003) dan SPM (1999-2001)

Pada tahun 1996 sekolah ini telah dipilih salah sebuah sekolah daripada 14 buah sekolah di seluruh Malaysia untuk projek Pusat Sumber Elektronik (PSE) atau dikenali juga dengan projek 'Rangkaian Munsyi' anjuran bersama Jabatan Telekom Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sekolah ini telah dinaik taraf menjadi Sekolah Menengah Gred A mulai 1 Februari 1998.

Pada tahun 1999 SMK Dato' Ahmad Maher telah dipilih sebagai sebuah sekolah daripada 90 buah sekolah di seluruh negara untuk menjalani program Sekolah Rintis Bestari.

Dari segi akademik sekolah ini sering mencapai keputusan 100% dalam PMR dan SPM mulai tahun 1996 dengan kualitinya sentiasa meningkat. Lazimnya pelajar yang mendapat 9A - 6A PMR melebihi 60% dan pelajar yang mendapat pangkat 1 (SPM) melebihi 85%.

Pengetua yang pernah berkhidmat di sekolah ini ialah sebagaimana berikut:

  • Tn. Hj. Razali bin Mohamad (01.05.85 - 11.04.93)
  • Tn. Hj. Mohd Din bin Ismail (16.04.93 - 16.08.93)
  • Tn. Hj. Ahmad bin Mustapha (01.09.93 - 15.01.94)
  • Tn. Hj. Razali bin Mohamad (16.01.94 - 15.01.98)
  • En. Wan Hamzah bin Wan Daud (02.02.98 - 15.01.99)
  • Tn. Hj. Mohamed bin Awang (16.07.99 - 31.03.03)
  • Tn. Hj. Mohamad @ Shamsuddin b. Awang (19.08.03 - 29.06.03)
  • Tn. Hj. Mansor bin Abdullah (01.07.05 - ?)
  • Pn. Hjh.Wan Shamsiah bt. Ishak (? - Sekarang)

Mulai sesi persekolahan 2002, SMK Dato' Ahmad Maher telah menawarkan pengajian pada peringkat 6 Bawah Aliran Kemanusian dan seterusnya Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia telah diambil oleh pelajar sekolah ini bermula tahun 2003.

Pada tahun 2003 juga, SMK Dato' Ahmad Maher akan menyimpan satu lagi mercu tanda dalam sejarahnya iaitu apabila muncul sebagai Sekolah Harian yang melaksanakan pengajian Aliran Sains 100 peratus seperti juga Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)

Semoga SMK Dato' Ahmad Maher terus gemilang seindah dan serasi dengan namanya 'MAHER' .

No comments:

Post a Comment